Kebimbangan Ibu


Usai solat maghrib..

“dik, takutlah..” tutur ibu.

Apa pulak yang ditakuti ibu ni. Tak pernah lagi ibuku bertutur sedemikian. Untuk mengetahui jawapannya, lantas aku bertanya ibu.

“takut apa ibu?” tanyaku menanti jawapan.

“ibu takut…di dunia ni, kita boleh tinggal bersama-sama. Ada ibu, ada ayah, ada adik, ada adik-beradik yang lain. Bagaimana pula keadaan kita di akhirat nanti?”

“bolehkah kita tinggal bersama-sama?” Tanya ibu memerlukan kepastian.

masyaAllah. Macam mana ibu boleh berfikir sedemikian? Ibu menanti jawapan.

------------------------------------------------------------------------------------------------
Kebimbangan seseorang adalah pelbagai. Kebimbangan terhadap harta yang semakin berkurang. Kebimbangan terhadap rezeki yang dianggap tidak pernah datang. Kebimbangan terhadap dosa-dosa yang bertimbun. Kebimbangan terhadap kuasa yang terlepas ke tangan orang lain. Dan pelbagai lagi kebimbangan yang ada.

Dalam banyak-banyak kebimbangan yang ada, pilihlah untuk merasakan kebimbangan terhadap perkara yang membawa kita dekat kepada Allah s.w.t. Ramai yang bimbang, hartanya tidak banyak seperti jirannya, rumah tidak besar seperti rumah jirannya yang bagai istana, kereta tidak semewah temannya, rupanya tidak secantik siti nurhaliza, tidak ramai yang ingin menguratnya, dan bermacam-macam lagi. Segala kebimbangan ini adalah bersifat keduniaan semata-mata. Dibimbangi, akan membawa manusia jauh ke lembah kekufuran kerana mereka bersikap tidak redha dengan segala ketentuan Ya Rabb.

Bagaimana pula ingin merasakan kebimbangan yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t? Ya, aku menyeru diri dan sahabat-sahabat untuk merasakan kebimbangan terhadap sedikitnya amal ibadah yang dilakukan, masih banyak lagi dosa-dosa kecil yang belum ditinggalkan, umur yang makin berkurang tetapi amal belum bertambah, dosa anggota yang banyak tidak terjaga, lalai terhadap sunnah Baginda s.a.w dan sebagainya. Kebimbangan inilah yang bakal membawa kita mengenal tuan empunya dunia yakni Allah s.w.t.

Namun, kebimbangan tetap kebimbangan. Jangan dilupakan bagaimanakah jalan penyelesaian terhadap kebimbangan itu. Kita perlu bertindak.

Kebimbangan yang ditunjukkan oleh ibu, merupakan salah satu daripada kebimbangan yang banyak. Bagaimanakah ingin menjawab pertanyaan ibu. Aku tidak mampu untuk menjelaskan secara terperinci kepada ibu. Aku bukanlah orang yang fakih dalam ilmu agama.

Maha Suci Allah yang mengingatkan aku tentang sesuatu. Ya, baru semalam aku meneliti satu maksud ayat daripada kitabullah itu.

Memahami penantian ibu, aku segera membacakan ayat daripada surah At-Tur beserta dengan maksudnya.

“Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (surah At-Tur : 21)

Sesekali mata melirik kepada ibu yang sedang terbaring sambil khusyuk mendengar terjemahan yang ku baca. Ibu menitiskan air mata. Aku tahu, mungkin jawapan itulah yang dinanti-nantikan oleh ibu. Walaubagaimanapun, kebimbangan terus menjadi kebimbangan yang berpanjangan. Kerana ibu mengerti siapakah anak-anaknya. Ibu cukup kenal bagaimanakah tingkah laku anak-anaknya.

Sebagai anak, kitalah pengubat terhadap segala kebimbangan seorang insan yang bergelar ibu. Kebimbangan itu adalah tanda sayang. Kerana, kasih sayang itulah yang menjadi saksi di hadapan Allah s.w.t kelak. Waktu dimana tidak ada penolong melainkan rahmat Allah s.w.t.

"Dan Kami mewasiatkan(memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu. KepadaKu tempat kembali." (surah Luqman : 14)

Sabda Rasulullah s.a.w

"Celaka (terhina) orang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang di antara keduanya pada umur tua, sedang mereka menyebabkannya tidak dapat masuk syurga."

Justeru, sama-samalah kita berusaha untuk menjadi golongan yang terpilih oleh Allah s.w.t untuk melakukan segala ketaatan dan kebaktian kepada kedua ibu bapa kita. Jambatan ke syurga sudah terbentang. Terpulang pada diri, merobohkan atau memekarkan jambatan itu sehingga kita sampai ke syurgaNya.

Berdoalah selalu, moga kita dikurniakan kebimbangan-kebimbangan yang diredhai dan bukan dikurniakan kebimbangan yang melalaikan.

Akur dengan kehendak Pencipta, insyaAllah kita bakal menemui suatu kepuasan yang amat bernilai dari sisiNya.

Wallahu’alam.

p/s : renungan untuk saya beserta ahli keluarga[sukar untuk menegur secara direct.melalui blog, insyaAllah dibaca oleh kakak2 dan abang =)]. Renungan juga buat sahabat-sahabat yang ingin menerima.

Sambungan >>

Anda kenal binatang yang bernama tikus?? Hm,kalau tidak kenal bersegeralah untuk bertanya kepada sesiapa yang mengenal secara fizikalnya, bagaimanakah rupa binatang yang bernama tikus atau lebih mudah lagi, tanyalah Mr.Google. Penting untuk kita mengenal setiap ciptaan Allah s.w.t ini. InsyaAllah banyak yang kita dapat belajar.

Adakah sama tikus dengan manusia? Pasti anda semua menjawab ‘mestilah tidak’. Pembiakan tikus adalah begitu cepat. Sebagaimana yang kita sedia maklum, tikus merupakan haiwan yang berdarah panas. Tikus melahirkan anak. Semacam dengan manusia.

Tikus boleh dikatakan sebagai haiwan perosak kerana ada sesetengah tikus yang tugasnya merosakkan tanaman petani. Kecerdikan dan kelicikan menginap di dalam lubang tanah, memudahkan tugasnya untuk mencuri biji-biji padi yang ditanam para pesawah. Kecil-kecil dan comel-comel si tikus kadang-kadang mengundang bahaya.

Mengundang bahaya? Kepada siapa? Jawapannya adalah mengundang bahaya kepada anak-anaknya. Tikus akan bertindak sebagai pemangsa kepada anak-anaknya. Tikus bertindak ganas dengan memakan anak-anaknya sekiranya dia tidak mendapat makanan. Hebat bukan? Tikus yang kebiasaannya memakan padi dan biji-biji gandum bertukar menjadi pembunuh.

Bagaimana pula dengan manusia. Sekiranya si tikus membunuh anak disebabkan tidak mendapat makanan sehari suntuk, bagaimana dengan manusia? Manusia membunuh disebabkan tiada tempat untuk menutup malu. Benar atau tidak?


Hari demi hari, banyak pembuangan dan pembunuhan bayi berlaku. Di mana? Di Malaysia, Negara Islam. Ini reality dan bukan fantasi. Apabila segalanya sudah berlaku, mana-mana pihak masing-masing tidak boleh menyalahkan. Secara tepatnya, segera mengambil langkah untuk membuang gejala terkutuk itu. Sudahlah berzina, sesudah itu melahirkan bayi tanpa nikah, dibunuh pula anak kecil yang tidak berdosa itu. Mereka membunuh anak kecil semata-mata untuk menutup malu. Menutup aib diri dan keluarga terhadap teman-teman serta masyarakat di luar.
Na'uzubillah.

Seharusnya, apakah solusi yang terbaik? Sekiranya anda bertanya saya, jawapan saya adalah ‘hanya kembali kepada agama yang sebenar’. Agama yang ada pada kita hari ini adalah sebagai pengenalan diri sahaja. Apabila orang bertanya, ‘apakah agama kamu?’. Mudah sahaja untuk menjawabnya, ‘agama aku ialah Islam’. Tetapi, hakikatnya Islam sekadar luaran sahaja. Dalaman, hanya berpura-pura. Na’uzubillah.


Tikus dan manusia, fizikalnya berbeza tetapi tingkah lakunya boleh jadi serupa. Ingin jadi tikus?? Hm…jawapannya ada pada diri masing-masing.

Sekadar perkongsian melalui seni yang ada pada kehidupan. Meneliti di setiap sudut kehidupan, insyaAllah kita akan menemui sesuatu pengajaran yang menjadi kebanggaan kita sebagai seorang insan yang bergelar Islam.

Wallahu’alam.

Sambungan >>

Tak Tahu Tanya (3T)



“Hakimi…pegi amik daun pandan sikit kat belakang rumah”

“Nak buat apa mak?”


“nak buat pengat ubi”

“ok..beres!!!” jawab hakimi dengan penuh yakin.

Berjalanlah Hakimi ke belakang rumah untuk mengambil daun pandan yang disuruh tadi. Dipotongnya daun pandan dengan wajah yang cukup berpuas hati kerana dia yakin itulah daun pandan.

“nah mak!! Ini daun pandannya..banyak ke sikit ni??”

“masyaAllah…budak ni..mak suruh ambil daun pandan! Yang kamu ambil ni bukan daun pandan, tapi daun serai!!! Subhanallah…”


Hmm..inilah situasi anak saudara saya yang barangkali baru ingin mengenal. Tapi, nak kata kecil lagi tak juga. Dah berumur 14 tahun..dah tua bangka dah. Silapnya di mana? Silapnya ada pada keyakinan yang tertipu oleh diri sendiri. Yakin tidak bertempat walhal apa yang diyakini itu salah sama sekali.

Firman Allah s.w.t di dalam surah an-Nahl yang bermaksud

“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Malu bertanya, sesat jalan. Memang ada benarnya. Sekiranya kita tidak tahu cara untuk solat, maka pilihlah untuk bertanya kepada orang yang tahu cara untuk bersolat. Jangan jadikan malu yang ada pada diri sebagai batu penghalang untuk membebaskan diri kita daripada belenggu kejahilan.

Maksud firman Allah s.w.t dalam surah az-Zumar, ayat 9 yang bermaksud:
“ Katakanlah,tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada berilmu pengetahuan.”

Tentulah berbeza orang yang berilmu dengan orang yang tiada ilmu baik untuk dunia mahupun akhirat. Sekiranya kita tidak tahu tujuan utama kita berada di dunia kini, maka bertanyalah kepada yang mengetahuinya. Apakah tujuan sebenarnya aku di dunia ini? Apakah destinasiku yang seterusnya? Kenapa mereka sibuk melakukan ketaatan kepada Allah? Bagaimanakah ingin khusyuk dalam solat? Seharusnya, pakaian sebagaimanakah yang dianjurkan oleh Islam? Segala persoalan ini perlu kepada jawapannya.

Justeru, bertanyalah kepada mereka yang arif tentangnya.

Wallahua’alam.

Sambungan >>

Ayuh, sucikan hati!!!


Sabda Rasulullah s.a.w.

“Ketahuilah bahawa dalam tubuh badan itu ada sepotong daging, kiranya ia elok, maka eloklah seluruh tubuh badan itu. Dan kiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh badan pula. Ia itu adalah hati.”

Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w di atas, jelaslah bahawa begitu pentingnya hati kepada setiap anak Adam. Hati merupakan punca atau akar kepada segala perkara yang dilakukan. Lantaran itu,adalah menjadi suatu kemestian kepada kita berusaha untuk mensucikan hati dan segera memperbaikinya.

Dapatkah kita bayangkan perumpamaan yang telah dikhabarkan oleh Baginda s.a.w berkenaan hati? Kalau hati rosak,maka rosaklah seluruh anggotanya. Sekiranya elok, maka berbahagialah buat si pemilik hati tersebut kerana segala pekerjaan yang dilakukan bakal mendapat ganjaran Allah s.w.t.

Bagaimanakah hati kita? Adakah hati kita hati yang sejahtera? Atau hati yang sakit dan mungkin jugakah hati kita adalah hati yang mati? Masing-masing mampu untuk menentukan hati yang bagaimanakah yang dimiliki oleh kita semua. Tingkat hati yang paling tinggi di sisi Allah s.w.t ialah hati yang sejahtera.

Firman Allah s.w.t.

“Dan janganlah Engkau menghinakan aku pada hari kebangkitan. Iaitu hari yang tiada berguna harta benda dan anak-anak. Melainkan orang yang mendatangi Allah dengan hati yang bersih” (as-Syuara:87-89)

Hati yang bersih merupakan hati yang sejahtera. Hati yang tidak terpalit sedikitpun perasaan-perasaan yang bersifat jahat. Hati yang sejahtera hanya dimiliki oleh mereka yang menggantungkan dirinya dengan tali Allah s.w.t semata-mata. Pemilik hati ini tenang jiwanya. Redha orangnya. Tenang kehidupannya kerana dia tidak benci, tidak dengki, dan tidak gelisah dengan kepunyaan orang lain. Hati yang sejahtera ialah hati yang tetap teguh dengan agama Allah s.w.t, berkata yang benar walaupun ia pahit dan tidak gentar dengan ancaman yang menggugat.

Bagaimana pula dengan pemilik hati yang sakit. Hati yang sakit diumpakan seperti seseorang mengalami sakit demam. Orang yang demam, tidak selera untuk makan walaupun makanan yang dihidangkan adalah makanan kegemarannya. Begitu juga dengan hati yang sakit. Hati yang sakit tidak selera untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t walaupun sudah jelas ganjaran yang Allah s.w.t akan kurniakan. Namun, hati yang sakit ini masih punya peluang seandainya si pemilik hati segera untuk mengubatinya.

Dalam masa kita tertanya-tanya, bagaimanakah hatiku? Seandainya jawapan kita adalah hati yang mati, maka berwaspadalah.

Sabda Rasulullah s.a.w

“Yang amat jauh daripada Allah s.w.t ialah hati yang keras”

Hati yang keras ialah hati yang mati. Sebagaimana hati yang dimiliki oleh orang kafir kerana hati mereka gelap untuk menerima suluhan kebenaran. Hati mereka mati untuk menerima teguran dan nasihat. Apabila matinya hati seorang hamba Allah s.w.t itu, maka hatinya tidak hiba apabila disebut tentang kematian, dan hatinya tidak gentar apabila dibacakan ayat-ayat suci al-Quran. Malah, lebih menyedihkan, hati ini akan menjadi musibah buat pemiliknya lantaran jauhnya dia daripada tali Allah s.w.t.

Justeru, sama-samalah kita mensucikan hati kita semua daripada titik-titik hitam yang pernah menapak di hati kita. Mengingati Allah s.w.t di dalam hati dengan kerendahan diri dan penuh perasaan takut. Semoga hati kita disuluhi dengan sinar hidayahNya. Iman itu mekar dengan ketaatan. Iman juga akan tersungkur dengan maksiat. Maka, pilihlah untuk memekarkan iman.

Sambungan >>

Kepimpinan Dalam Islam(I)

Kepimpinan adalah suatu yang secara semulajadinya harus wujud di dalam sesebuah masyarakat. Bermula dari sekecil-kecil kelompok(keluarga) sehinggalah sebesar-besar kelompok(Negara). Ini membuktikan peri pentingnya kepimpinan terhadap makhluk sosial iaitu manusia.

Harusnya, bagaimanakah kriteria kepimpinan yang wajar kita miliki? Adakah cukup sekadar pemimpin yang hanya tahu berbicara soal kebajikan semata-mata tanpa menghiraukan suruhan-suruhan Allah s.w.t? Adakah dengan mempunyai pemimpin yang hanya berteleku di tikar sejadah sahaja tanpa menghiraukan orang yang dipimpin? Menerusi kedua-dua persoalan ini, penulis merasakan cukup jelas sekali bahawa persoalan di atas adalah tidak seimbang baik untuk dunia mahupun untuk akhirat.

Kepimpinan merupakan perkara pokok yang menentukan baik buruknya sesebuah masyarakat dalam sesebuah Negara. Lihat sahaja sejarah lampau yang memberi banyak pengajaran kepada manusia hari ini. Bermula dengan sejarah kepimpinan nabi-nabi terdahulu, kepimpinan yang dipamerkan oleh Rasulullah, para sahabat, para pejuang agama Allah yang hebat seperti Sultan Muhammad Al-Fateh dan sebagainya. Mereka bukan sahaja hebat bertaqarrub dengan Allah s.w.t malah mendapat penghormatan dalam masyarakat disebabkan usaha mereka berlaku adil kepada semua golongan.

Pentingnya kepimpinan yang digariskan oleh Islam adalah supaya masyarakat yang mengisi bumi Allah s.w.t ini mendapat barakah daripadanya. Yakni mendapat barakah daripada kepimpinan yang di bawa oleh seorang hamba Allah s.w.t yang cukup mengerti matlamat sebenar kepimpinannya.

Penulis merasakan, tidak mengapalah seandainya sesebuah negeri itu tidak banyak bangunan pencakar langitnya (ukuran kejayaan kepimpinan pada hari ini), asalkan masyarakatnya tidak terjerumus dengan segala kemaksiatan yang dibenci oleh Allah s.w.t.

Sebagaimana pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas memberi definisi tentang pembangunan yang sebenarnya iaitu pengembalian masyarakat atau sesebuah Negara itu kepada Islam yang sejati sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Sambungan >>

Tok Guru



Tok Guru,
Samaran yang cukup unggul abad ini,
Dirimu dihormati segenap masyarakat kini,
Bukan disebabkan dirimu seorang yang mewah hartanya,
Bahkan pula bukan yang segak bergaya,
Tapi dirimu sederhana orangnya,
Miliki pekerti yang cukup mulia,
Bukan niatku untuk menyanjungmu sebegitu rupa,
Tapi itulah hakikatnya..
Walaupun insan yang sempurna hanya milik Baginda,
Namun disebalik sinar wajahmu,
Ku tahu kau cuba sedaya upaya,
Untuk mengikuti jejak langkahnya…

Tok Guru,
Mereka kata dirimu ini kasar orangnya,
Kerana dirimu begitu keras berkata-kata,
Melontar meluah apa yang dirasa,
Semua orang terasa peritnya,
Tapi aku tidak percaya,
Kerana aku kenal siapa dirimu sebenarnya,
Walaupun dirimu keras meluah bicara,
Tapi sebenarnya lembut maksud disebaliknya..

Tok Guru,
Aku tahu kata-katamu dalam maksudnya,
Teguranmu banyak ertinya,
Tapi mereka tidak mengerti apa tujuannya,
Kata-kata yang keras itulah yang manis sebenarnya,
Punya maksud tersirat disebaliknya,
Biasalah, mengatakan yang benar itu pahit rasanya,
Tapi, itulah sifatmu..
Tetap berkata walau pahit dirimu menelannya..

Tok Guru,
Sabarlah dirimu wahai pejuang agama Allah,
Walaupun dibenci, ditohmah dan dihina manusia,
Namun dirimu mulia disisi yang Maha Perkasa,
Sabarlah dirimu wahai hamba Allah,
Dirimu tidak keseorangan,
Kami dibelakangmu tidak pernah lelah,
Terus menjadi tongkatmu untuk menegak kalimah Allah..

Nukilan ini, khas buat Tok Guru(Menteri Besar Kelantan) yang penulis cukup kagumi. Setiap kali penulis mendengar ceramahnya mahupun ucapan Tok Guru di suatu majlis, penulis pasti tidak dapat menahan sebak. Bukan penulis seorang yang sensitive,tetapi bicaranya membawa penulis begitu dekat dengan yang Maha Esa. Kalau nak tahu rasanya bagaimana, cubalah ikuti majlis-majlis yang dihadiri oleh Tok Guru.:) Majlis-majlis rasmi akan menjadi ceramah agama kalau ada Tok Guru. Sekejap keluar ayat-ayat suci al-Quran. Kemudian keluar hadis dan macam-macam lagilah. Pesanan penulis kepada semua, jangan mengenali Tok Guru seperti yang digembar-gemburkan. Kenalilah beliau dengan mata hati.:)

Sambungan >>

Mari belajar Quran..

Sabda Rasulullah,
“Bacalah al-Quran, kelak di hari kiamat ia akan menjamin tuannya.”

Yang mengajar : Am…Im…Um…
Yang belajar : Ang…Ing…Ung…
Yang mengajar : Ruby, ni am, im, um…bukan ang, ing, ung…
Yang mengajar : Kam…kim..kum..
Yang belajar : Kang..king…kung….
Yang mengajar : mashaAllah…bukan kang, king, kung…tapi..kam, kim, kum…

sesekali, kalau dilihat situasi sebegini, nak tergelak.. geram pun ada juga.. tapi inilah yang dikatakan pengalaman. Pengalaman ana dalam usaha untuk mengajar budak-budak berumur 4 tahun ke atas mengaji quran. Mengambil pendekatan awal dengan mengajar ‘Iqra’ adalah suatu permulaan yang bagus. Tujuannya memudahkan budak-budak usia muda ini mengenal huruf-huruf dalam quran. Bukan sekadar tahu huruf, malah diajar sebutan huruf yang betul dan cara bacaannya.

“Dan perelokkanlah bacaan al-Quran seelok-eloknya.”(al-Muzzammil: 4)

Seramai 30 orang lebih budak-budak kecil cili padi yang datang untuk mengaji ini cukup menghangatkan suasana. Riuh pikuk surau jadinya. Tapi, apakan daya. Kedatangan mereka pun sudah cukup untuk mengharukan diri lantaran terpamer semangat mereka untuk mengenal kalimah-kalimah Allah ini. Apa yang penting ialah kesabaran.Sabar dengan karenah dan sabar untuk melihat hasilnya.

Kini, ana baru mengerti bahawa kegembiraan seorang guru terletak pada kejayaan para pelajarnya memahami apa yang diajar oleh guru tersebut.

Akhirnya…

Yang belajar : Am..Im…Um…Kam..Kim…Kum…
Yang mengajar : Segala puji bagi Allah yang telah melancarkan sebutan anak muridku untuk menyebut kalimahMu..

Sambungan >>

Keberkatan Masa

Dengan NamaMu ya Allah | Assalamualaikum w.b.t

"Boleh tak kalau ringkaskan majlis ta'lim nie. Kita kena consider amanah kita dengan mak ayah kita. Dengan pelajaran kita. Lagipun, kita sekarang dalam musim exam. Kalau boleh, limitkan masa" ujar seorang sahabat.

"Ada sape-sape yang ada pandangan tak." lisan disambung oleh sahabat tadi yang benar-benar inginkan penjelasan.

Terdetik rasa tidak puas hati saya mendengar lontaran kata-kata daripada sahabat tersebut. Astaghfirullah.

"Majlis ta'lim ini majlis ilmu. Sebagai contohnya, kalau kita berdepan dengan dua perkara iaitu majlis ilmu atau study untuk exam esok. Yang manakah yang kita akan pilih? Barangkali, mungkin ramai yang akan memilih untuk study. Tetapi, tidakkah kita terfikir bahawa keberkatan masa itu datangnya daripada Allah s.w.t?" ujar seorang sahabat yang ikhlas ingin menjelaskan.

"Kita kena ingat, keberkatan masa nie, hanya Allah s.w.t. sahaja yang mampu mengganjari. Kedua-dua perkara samada study atau majlis ta'lim nie adalah sama-sama penting disisi Allah s.w.t. Kedua-dua perkara adalah benda baik. Apa salahnya kalau kita ambil kedua-dua. Belum tentu kita akan mendapat keberkatan masa semasa kita belajar, dalam masa sama kita meninggalkan majlis ta'lim yang sememangnya akan mendapat rahmat disisi Allah s.w.t. Semua itu bergantung kepada Allah s.w.t. Keberkatan dalam majlis ta'lim ni jelas dapat kita lihat. Saling berkongsi ilmu sesama sahabat. Allah s.w.t akan melimpahkan keberkatanNya kepada kita semua bilamana kita saling memperingatkan atau bermuhasabah sama-sama untuk kembali kepada Dia." saya turut mengambil bahagian untuk menjelaskan.

Memang benar, hati kita kadangkala diuji. Diuji bukanlah untuk menghukum tetapi ujian itu adalah untuk mentarbiyyah seorang insan yang telah digelar sebagai hamba. Bilamana hati berada betul-betul di hadapan dua perkara yang berbeza tetapi dirasakan sama-sama penting, cubalah nilai dengan mata hati. Bukan mata hati yang kekosongan. Tetapi hati yang terisi penuh dengan penghayatan terhadap ilmu-ilmu yang telah kita pelajari saban waktu.

Yakin kepada Allah s.w.t. adalah kunci kepada segala kebaikan. Kalau kita tidak yakin bahawa Allah s.w.t yang melapangkan hati kita, memberi keberkatan masa kepada kita dan setiap genap nikmat yang Allah s.w.t kurniakan pada hari ini, pada siapalah lagi yang kita akan yakini?Na'uzubillah.

"Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu, "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah, niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan, "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
~Al-Mujadilah : 11~

"Sahabat-sahabat, yakinlah kepada Allah dengan sebenar-benar yakin" sahut seorang sahabat yang lain.

"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan yang lain)."
~Al-Insyirah : 7~

Subhanallah..kalam-kalam Allah s.w.t inilah yang mengembalikan hati-hati kami untuk tetap yakin kepadaNya. Maha Suci Allah yang telah menghadiahkan kita semua kitab suci Al-Quran sebagai penawar kesedihan dan kegembiraan, pemberi semangat, penyelesai masalah,harapan, dan segala-galanya. Semoga Allah s.w.t terus menyuluh hati-hati kita semua dengan taufiq dan hidayahNya.

Ta'lim malam ni cukup terkesan buat saya dan sahabat-sahabat kerana Allah s.w.t telah menguji kami semua agar tetap terus menegur sahabat-sahabat yang lain bagi memastikan kami semua terus berada di bawah rahmatNya.

p/s: Perkongsian ini adalah untuk memuhasabahkan diri sendiri dan untuk saudaraku yang di luar sana.Sayang semua sahabat-sahabat. Kepada sahabat-sahabat satu ta'lim yang membaca post nie, harap maaf sekiranya ada pengolahan ayat. sbb, ana ingat-ingat lupa :)

Sambungan >>
Related Posts with Thumbnails