Kepimpinan adalah suatu yang secara semulajadinya harus wujud di dalam sesebuah masyarakat. Bermula dari sekecil-kecil kelompok(keluarga) sehinggalah sebesar-besar kelompok(Negara). Ini membuktikan peri pentingnya kepimpinan terhadap makhluk sosial iaitu manusia.
Harusnya, bagaimanakah kriteria kepimpinan yang wajar kita miliki? Adakah cukup sekadar pemimpin yang hanya tahu berbicara soal kebajikan semata-mata tanpa menghiraukan suruhan-suruhan Allah s.w.t? Adakah dengan mempunyai pemimpin yang hanya berteleku di tikar sejadah sahaja tanpa menghiraukan orang yang dipimpin? Menerusi kedua-dua persoalan ini, penulis merasakan cukup jelas sekali bahawa persoalan di atas adalah tidak seimbang baik untuk dunia mahupun untuk akhirat.
Kepimpinan merupakan perkara pokok yang menentukan baik buruknya sesebuah masyarakat dalam sesebuah Negara. Lihat sahaja sejarah lampau yang memberi banyak pengajaran kepada manusia hari ini. Bermula dengan sejarah kepimpinan nabi-nabi terdahulu, kepimpinan yang dipamerkan oleh Rasulullah, para sahabat, para pejuang agama Allah yang hebat seperti Sultan Muhammad Al-Fateh dan sebagainya. Mereka bukan sahaja hebat bertaqarrub dengan Allah s.w.t malah mendapat penghormatan dalam masyarakat disebabkan usaha mereka berlaku adil kepada semua golongan.
Pentingnya kepimpinan yang digariskan oleh Islam adalah supaya masyarakat yang mengisi bumi Allah s.w.t ini mendapat barakah daripadanya. Yakni mendapat barakah daripada kepimpinan yang di bawa oleh seorang hamba Allah s.w.t yang cukup mengerti matlamat sebenar kepimpinannya.
Penulis merasakan, tidak mengapalah seandainya sesebuah negeri itu tidak banyak bangunan pencakar langitnya (ukuran kejayaan kepimpinan pada hari ini), asalkan masyarakatnya tidak terjerumus dengan segala kemaksiatan yang dibenci oleh Allah s.w.t.
Sebagaimana pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas memberi definisi tentang pembangunan yang sebenarnya iaitu pengembalian masyarakat atau sesebuah Negara itu kepada Islam yang sejati sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
0 pandangan:
Post a Comment