Sabda Rasulullah s.a.w.
“Ketahuilah bahawa dalam tubuh badan itu ada sepotong daging, kiranya ia elok, maka eloklah seluruh tubuh badan itu. Dan kiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh badan pula. Ia itu adalah hati.”
Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w di atas, jelaslah bahawa begitu pentingnya hati kepada setiap anak Adam. Hati merupakan punca atau akar kepada segala perkara yang dilakukan. Lantaran itu,adalah menjadi suatu kemestian kepada kita berusaha untuk mensucikan hati dan segera memperbaikinya.
Dapatkah kita bayangkan perumpamaan yang telah dikhabarkan oleh Baginda s.a.w berkenaan hati? Kalau hati rosak,maka rosaklah seluruh anggotanya. Sekiranya elok, maka berbahagialah buat si pemilik hati tersebut kerana segala pekerjaan yang dilakukan bakal mendapat ganjaran Allah s.w.t.
Bagaimanakah hati kita? Adakah hati kita hati yang sejahtera? Atau hati yang sakit dan mungkin jugakah hati kita adalah hati yang mati? Masing-masing mampu untuk menentukan hati yang bagaimanakah yang dimiliki oleh kita semua. Tingkat hati yang paling tinggi di sisi Allah s.w.t ialah hati yang sejahtera.
Firman Allah s.w.t.
“Dan janganlah Engkau menghinakan aku pada hari kebangkitan. Iaitu hari yang tiada berguna harta benda dan anak-anak. Melainkan orang yang mendatangi Allah dengan hati yang bersih” (as-Syuara:87-89)
Hati yang bersih merupakan hati yang sejahtera. Hati yang tidak terpalit sedikitpun perasaan-perasaan yang bersifat jahat. Hati yang sejahtera hanya dimiliki oleh mereka yang menggantungkan dirinya dengan tali Allah s.w.t semata-mata. Pemilik hati ini tenang jiwanya. Redha orangnya. Tenang kehidupannya kerana dia tidak benci, tidak dengki, dan tidak gelisah dengan kepunyaan orang lain. Hati yang sejahtera ialah hati yang tetap teguh dengan agama Allah s.w.t, berkata yang benar walaupun ia pahit dan tidak gentar dengan ancaman yang menggugat.
Bagaimana pula dengan pemilik hati yang sakit. Hati yang sakit diumpakan seperti seseorang mengalami sakit demam. Orang yang demam, tidak selera untuk makan walaupun makanan yang dihidangkan adalah makanan kegemarannya. Begitu juga dengan hati yang sakit. Hati yang sakit tidak selera untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t walaupun sudah jelas ganjaran yang Allah s.w.t akan kurniakan. Namun, hati yang sakit ini masih punya peluang seandainya si pemilik hati segera untuk mengubatinya.
Dalam masa kita tertanya-tanya, bagaimanakah hatiku? Seandainya jawapan kita adalah hati yang mati, maka berwaspadalah.
Sabda Rasulullah s.a.w
“Yang amat jauh daripada Allah s.w.t ialah hati yang keras”
Hati yang keras ialah hati yang mati. Sebagaimana hati yang dimiliki oleh orang kafir kerana hati mereka gelap untuk menerima suluhan kebenaran. Hati mereka mati untuk menerima teguran dan nasihat. Apabila matinya hati seorang hamba Allah s.w.t itu, maka hatinya tidak hiba apabila disebut tentang kematian, dan hatinya tidak gentar apabila dibacakan ayat-ayat suci al-Quran. Malah, lebih menyedihkan, hati ini akan menjadi musibah buat pemiliknya lantaran jauhnya dia daripada tali Allah s.w.t.
Justeru, sama-samalah kita mensucikan hati kita semua daripada titik-titik hitam yang pernah menapak di hati kita. Mengingati Allah s.w.t di dalam hati dengan kerendahan diri dan penuh perasaan takut. Semoga hati kita disuluhi dengan sinar hidayahNya. Iman itu mekar dengan ketaatan. Iman juga akan tersungkur dengan maksiat. Maka, pilihlah untuk memekarkan iman.
Andai Anak Anda Sendiri Melakukan Protes di Kampus USA dan UK
-
Jika anak anda belajar di universiti di Amerika Syarikat ataupun di United
Kingdom ataupun mungkin di negara-negara lain dan anak anda terlibat dengan
prot...
0 pandangan:
Post a Comment