Kebimbangan Ibu


Usai solat maghrib..

“dik, takutlah..” tutur ibu.

Apa pulak yang ditakuti ibu ni. Tak pernah lagi ibuku bertutur sedemikian. Untuk mengetahui jawapannya, lantas aku bertanya ibu.

“takut apa ibu?” tanyaku menanti jawapan.

“ibu takut…di dunia ni, kita boleh tinggal bersama-sama. Ada ibu, ada ayah, ada adik, ada adik-beradik yang lain. Bagaimana pula keadaan kita di akhirat nanti?”

“bolehkah kita tinggal bersama-sama?” Tanya ibu memerlukan kepastian.

masyaAllah. Macam mana ibu boleh berfikir sedemikian? Ibu menanti jawapan.

------------------------------------------------------------------------------------------------
Kebimbangan seseorang adalah pelbagai. Kebimbangan terhadap harta yang semakin berkurang. Kebimbangan terhadap rezeki yang dianggap tidak pernah datang. Kebimbangan terhadap dosa-dosa yang bertimbun. Kebimbangan terhadap kuasa yang terlepas ke tangan orang lain. Dan pelbagai lagi kebimbangan yang ada.

Dalam banyak-banyak kebimbangan yang ada, pilihlah untuk merasakan kebimbangan terhadap perkara yang membawa kita dekat kepada Allah s.w.t. Ramai yang bimbang, hartanya tidak banyak seperti jirannya, rumah tidak besar seperti rumah jirannya yang bagai istana, kereta tidak semewah temannya, rupanya tidak secantik siti nurhaliza, tidak ramai yang ingin menguratnya, dan bermacam-macam lagi. Segala kebimbangan ini adalah bersifat keduniaan semata-mata. Dibimbangi, akan membawa manusia jauh ke lembah kekufuran kerana mereka bersikap tidak redha dengan segala ketentuan Ya Rabb.

Bagaimana pula ingin merasakan kebimbangan yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t? Ya, aku menyeru diri dan sahabat-sahabat untuk merasakan kebimbangan terhadap sedikitnya amal ibadah yang dilakukan, masih banyak lagi dosa-dosa kecil yang belum ditinggalkan, umur yang makin berkurang tetapi amal belum bertambah, dosa anggota yang banyak tidak terjaga, lalai terhadap sunnah Baginda s.a.w dan sebagainya. Kebimbangan inilah yang bakal membawa kita mengenal tuan empunya dunia yakni Allah s.w.t.

Namun, kebimbangan tetap kebimbangan. Jangan dilupakan bagaimanakah jalan penyelesaian terhadap kebimbangan itu. Kita perlu bertindak.

Kebimbangan yang ditunjukkan oleh ibu, merupakan salah satu daripada kebimbangan yang banyak. Bagaimanakah ingin menjawab pertanyaan ibu. Aku tidak mampu untuk menjelaskan secara terperinci kepada ibu. Aku bukanlah orang yang fakih dalam ilmu agama.

Maha Suci Allah yang mengingatkan aku tentang sesuatu. Ya, baru semalam aku meneliti satu maksud ayat daripada kitabullah itu.

Memahami penantian ibu, aku segera membacakan ayat daripada surah At-Tur beserta dengan maksudnya.

“Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (surah At-Tur : 21)

Sesekali mata melirik kepada ibu yang sedang terbaring sambil khusyuk mendengar terjemahan yang ku baca. Ibu menitiskan air mata. Aku tahu, mungkin jawapan itulah yang dinanti-nantikan oleh ibu. Walaubagaimanapun, kebimbangan terus menjadi kebimbangan yang berpanjangan. Kerana ibu mengerti siapakah anak-anaknya. Ibu cukup kenal bagaimanakah tingkah laku anak-anaknya.

Sebagai anak, kitalah pengubat terhadap segala kebimbangan seorang insan yang bergelar ibu. Kebimbangan itu adalah tanda sayang. Kerana, kasih sayang itulah yang menjadi saksi di hadapan Allah s.w.t kelak. Waktu dimana tidak ada penolong melainkan rahmat Allah s.w.t.

"Dan Kami mewasiatkan(memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu. KepadaKu tempat kembali." (surah Luqman : 14)

Sabda Rasulullah s.a.w

"Celaka (terhina) orang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang di antara keduanya pada umur tua, sedang mereka menyebabkannya tidak dapat masuk syurga."

Justeru, sama-samalah kita berusaha untuk menjadi golongan yang terpilih oleh Allah s.w.t untuk melakukan segala ketaatan dan kebaktian kepada kedua ibu bapa kita. Jambatan ke syurga sudah terbentang. Terpulang pada diri, merobohkan atau memekarkan jambatan itu sehingga kita sampai ke syurgaNya.

Berdoalah selalu, moga kita dikurniakan kebimbangan-kebimbangan yang diredhai dan bukan dikurniakan kebimbangan yang melalaikan.

Akur dengan kehendak Pencipta, insyaAllah kita bakal menemui suatu kepuasan yang amat bernilai dari sisiNya.

Wallahu’alam.

p/s : renungan untuk saya beserta ahli keluarga[sukar untuk menegur secara direct.melalui blog, insyaAllah dibaca oleh kakak2 dan abang =)]. Renungan juga buat sahabat-sahabat yang ingin menerima.

1 pandangan:

Ummu Umar said...

jazakallah atas peringatan yang sangat berma'na ini. Sama-sama kita tingkatkan ibadah dan semaikan benih keimanan dalam rumah kita, insyaallah

April 24, 2010 at 10:55 PM  

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails