Allah Maha Dekat


Dengan NamaMu ya Allah | Assalamualaikum w.b.t.

Allah s.w.t Maha Dekat dengan hambaNya. Penuh kasih sayang. Takkan pernah biarkan hambaNya menangis. Kerana kemurahan dan kasih sayangNya. Peringatan demi peringatan disampaikan kepada hamba yang dikasihiNya. Peristiwa demi peristiwa dijadikan dengan KekuasaanNya sebagai satu titik tolak untuk menegur hambaNya yang semakin lama semakin lalai dengan indahnya nikmat dunia.

"Tidakkah kamu tahu bahawa Allah memiliki kerajaan langit dan bumi? Dan tidak ada bagimu pelindung dan penolong selain Allah"
[Surah al-Baqarah : 107]

Hanya Allah s.w.t sahaja yang layak dijadikan tempat memohon pertolongan sebagaimana yang telah jelas diterangkan di dalam surah al-Baqarah di atas. Apalah yang ada pada manusia sekiranya manusia yang menjadi tempat pergantungan. Bahkan manusia pulalah yang diciptakan oleh Allah s.w.t.

Katakanlah: "Mengapa kamu menyembah selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudarat kepadamu dan tidak (pula) memberi manfaat?" Dan Allah-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
[Surah al-Maidah : 76]

Hari ini, umat Islam bukan lagi menjadikan Allah s.w.t sebagai tempat yang ingin dituju. Takut kepada manusia melebihi takut kepada Allah s.w.t. Takut melaksanakan hukum-hukum Allah s.w.t kerana dibimbangi berlaku perpecahan antara kaum, dibenci oleh masyarakat, ekonomi merosot dan sebagainya. Siapakah yang lebih berkuasa menentukan kehidupan manusia?

"Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?"
[Surah al-Maidah : 50]

Orang yang tidak beriman dengan Allah s.w.t sahajalah yang ragu-ragu terhadap isi kandungan Al-Quran. Adakah kita ingin tergolong dalam golongan ini? Na'uzubillah


"Semoga Allah merahmati dan meredhai setiap sesuatu urusan yang kita kerjakan"

0 pandangan:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails